Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00370
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Munakahat
Tajuk MENIKAHI WANITA HAMIL ANAK ZINA
Soalan Apakah hukum seorang lelaki menikahi seorang wanita yang telah berzina dan hamil
anak zina?Adakah sah Pernikahan tersebut?
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama. Dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu adalah sah. Nasnya adalah seperti
berikut:-

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu
Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia
melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak) ,
berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk
mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia
bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin.
Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil
daripada zina menurut pendapat yang asah.”

(Rujuk Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/338)

Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni
yang diharamkan dalam ayat sebelumnya).

(Surah An-Nisa' : 24)

Daripada Ibn Umar, sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

Maksudnya: Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal.

(Riwayat Ibn Majah (2015))

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram
bernikah kerana nikah.

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki
seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-
Khattab RA bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya. Umar
bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut dan Umar tidak
menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah
ijmak.

Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak
menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung.

(Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab (16/241-242))

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang
pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah.
Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi
anaknya

• tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,

• tidak dapat pusaka daripadanya,

• tidak menjadi mahram kepadanya

• dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Wallahua’lam.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768