Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00369
Kategori Penyoal Individu
Kategori Akhlak
Sub Kategori Adab-adab Sosial
Tajuk BOLEH TAK MENGHADIRI MAJLIS KAHWIN ORANG BUKAN ISLAM
Soalan Boleh tak saya hadiri majlis perkahwinan sahabat (bukan islam) kerana ingin menjaga hubungan, perasaan dan
mengambil hati beliau.
Sedangkan majlis tersebut diadakan didalam sebuah dewan. Dalam dewan tersebut telah dipisahkan meja untuk tetamu
bukan islam
dan meja khas untuk tetamu/sahabat yang beragama Islam. Meja-meja ini dipisahkan kerana terdapat arak/makanan
tidak halal
dihidangkan pada meja tetamu bukan islam. Bagi meja-meja tetamu/sahabat yang beragama Islam pula dihidang
minuman/makanan
yang halal dari catering lain yang halal. Jadi adakah boleh saya hadiri dan makan di sana ? Sebab makanan/minuman
kami adalah dari
catering yang beragama Islam.
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalammualaikum Wbt.

Menghadiri majlis perkahwinan yang dianjurkan oleh sahabat bukan Islam adalah harus. Begitu juga memakan hidangan
yang disediakan pada majlis tersebut jika status halalnya diyakini. Tetapi jika didapati sebaliknya (diragui status halal
makanannya), maka hukum memakannya adalah haram sama sekali.

Tidak ada larangan kepada umat Islam untuk berbuat baik dan menerima undangan daripada orang bukan Muslim yang
juga dikenali dengan akhlak yang baik dan tidak memusuhi umat Islam. Firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah: 8)

Firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللَّهَ
لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar,
dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan
membangga-banggakan diri.”
(Surah al-Nisa’: 36)


Ketika membahaskan berkenaan konsep jiran dalam ayat di atas, Imam al-Qurtubi berkata:

“Aku berkata: Dengan ini, berlaku baik kepada jiran-jiran adalah digalakkan, samada mereka Muslim atau tidak. Ini
adalah yang sahih. Bentuk perlakuan baik itu samada dalam bentuk membantu atau boleh jadi dalam bentuk berlaku
baik, mengelakkan daripada ketidakselesaan dan berada di samping mereka. (Tafsir al-Qurtubi, 5/179)

Islam amat menitikberatkan hubungan yang harmoni sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa. Dalam
hal ini Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk kita teladani.

Kesimpulannya, menghadiri majlis sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi
Islam, adalah dibolehkan dan tidak ada larangan padanya. Namun begitu, hendaklah dihindari daripada melibatkan diri
dengan upacara keagamaan mereka. Kami juga menyarankan kepada masyarakat untuk tidak terburu-buru menghukum
atau mengeluarkan pendapat yang boleh mengeruhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia yang
berbilang kaum dan agama.

Wallahua’lam.



Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768