Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00368
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk NIAT DI DALAM SOLAT.
Soalan Assalamualaikum w.b.t kepada Tuan Guru yang saya amat hormati.

Saya ingin bertanya mengenai niat didalam solat.

1. apakah yang dimaksudkan dengan niat atau lintasan hati didalam solat?dan
bagaimanakah caranya melakukan niat dengan cara yang betul bagi mendapatkan
kesempurnaan solat yang terbaik?..

2. Mengikut mazhab syafiee niat didalam solat mestilah disertakan bersama didalam
takbiratulirham. disini adakah dibolehkan sekiranya saya berniat dahulu sebelum
mengangkat takbir?adakah sah solat saya.

3. jika kita solat secara berjemaah. adakah kita perlu memasukkan \"makmum\" atau
\"imam\" di dalam niat. sedangkan kita sedar dan tahu bahawa kita sedang solat
berjemaah. sekiranya tidak di masukkan niat tersebut, adakah sah solat berjemaah
kita? adakah kita dapat fadhilat/pahala berjemaah?

4. bolehkah kita memperbaharui niat selepas mengangkat takbir?..maksudnya
semasa kita masukkan niat ke dalam hati. kita berasa was-was.niat tak betul atau
tidak jelas. bolehkan kita mengulang niat kita semula tanpa membatalkan solat?
adakah sah solat kita dari segi hukum?.

Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualaikum wbt.

Terima kasih diatas kesudian tuan mengemukakan persoalan kepada Jabatan ini. Jawapannya adala seperti berikut:-

Niat adalah merupakan salah satu daripada 13 rukun solat yang wajib disempurnakan.

1. Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Tempat niat ialah di dalam hati,
berdasarkan sabda Nabi SAW:

انما الأعمال با لنيات

Maksudnya : Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.

(Riwayat Al-Bukhari (1), Muslim (1907))

Untuk menjadikan solat itu sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika takbiratul ihram dan sedar
akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara
niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya.

(Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab As-Syafie, jilid 1, hlm. 283, JAKIM )

2. Niat dahulu sebelum takbiratul ihram adalah tidak sah kerana niat itu wajib disertakan bersama takbiratul ihram.
Namun melafazkan niat sebelum takbiratul ihram adalah disunatkan bagi membantu menghadirkan niat di dalam hati.

3. Jika seseorang itu solat secara berjemaah dia wajib berniat sama ada sebagai makmum atau imam. Maka jika
seseorang mengikut seseorang pada perbuatan seperti rukuk atau salam dengan tidak berniat berjemaah atau syak
pada niat, iaitu apakah dia sudah berniat mengikut imam atau belum ketika takbiratul ihram tadi, maka batal solatnya.
Solatnya itu menjadi batal sekiranya dia lama menanti atau menunggu pada rukun perbuatan itu. Tetapi, jika dia tidak
menunggu imam itu sebaliknya dia segera berpindah kepada rukun yang lain maka sah solatnya tetapi dia hanya dikira
sebagai solat seorang diri.

Sekiranya dia ingin berjemaah maka hendaklah dia berniat mengikut imam ketika itu. Ini bererti niat berjemaah dalam
takbiratul ihram bagi solat fardhu lima waktu itu tidak wajib, bahkan afdal jika diniatkan untuk menghasilkan fadilat
berjemaah dari awal solat.

Adapun solat Jumaat, niat berjemaah dalam takbiratul ihram adalah wajib kerana solat Jumaat merupakan salah satu
daripada syarat sah solat Jumaat itu sendiri.

Pengarang Fiqh dan Perundangan Islam (Juz.2, hlm. 240) berkata, “Adapun niat menjadi imam oleh imam, tidak
disyaratkan dalam kalangan jumhur selain Mazhab Hambali, malah hukumnya sunat agar dia mendapat fadhilat
berjemaah. Jika dia tidak berniat menjadi imam, dia tidak memperoleh fadhilat berjemaah kerana seseorang itu hanya
memperoleh fadilat daripada amalannya berdasarkan apa yang dia niatkan.

(Indahnya Solat Berjemaah, hlm. 80, Terbitan Telaga Biru)

4. Bagi makmum yang syak atau was-was adakah dia sudah berniat makmum atau belum, maka dia hendaklah
memperbaharui niatnya tanpa perlu membatalkan solat.

Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768