Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00367
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk MAKMUK TAK SEMPAT BACA AL-FATIHAH
Soalan Saya mengangkat takbiratul ihram masa Imam dah baca surah pendek. Lalu saya tak
sempat baca Al-Fatihah dan imam rukuk. Saya pun turut ikut rukuk. Adakah itu dikira
rakaat? Apakah sah solat saya kerana saya tak sempat baca Al-Fatihah masa tu???
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualaikum,

Jawapan kami adalah seperti berikut:-

1. Bacaan al-Fatihah merupakan perkara rukun di dalam solat, tanpanya solat tidak sah. Sabda Nabi SAW :-

لا صَلاة لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya :“Tidak ada solat bagi yang tidak membaca pembukaan kitab (al-Fatihah)”
[Hadith Riwayat al-Bukhari, #714]

2. Ulama’ seperti al-Shawkaan, Ibn Taimiyah, Ibn Utsaimin, dll berpendapat bahawa terdapat dua keadaan di mana
membaca al-Fatihah dikecualikan, iaitu :-

a. Jika seseorang itu mendapatkan Imam ketika dia (imam) sedang ruku’

b. Jika seseorang itu mendapatkan Imam hampir-hampir dia hendak ruku’ dan dia (makmum) tidak sempat
menghabiskan bacaan al-Fatihah.

Kedua2 keadaan ini bacaan al-Fatihah boleh dikecualikan.

a. Di dalam kes pertama, dalilnya ialah hadith Abu Bakrah ra. yang dikatakan mendapati Nabi SAW semasa Baginda
sedang ruku’ dan beliau telah ruku’ sebelum sampai ke saf. Dia telah menyatakan perkara ini kepada Nabi SAW dan
baginda bersabda :-

زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا وَلا تَعُدْ

Maksudnya: “Moga Allah menjadikan anda lebih tekun, akan tetapi jangan lakukan lagi”
[Hadith Riwayat al-Bukhari, #783].

Hadith ini juga menjelaskan bahawa Abu Bakrah ra. telah mendapat rakaat bersama Nabi SAW dan beliau telah terus
ruku’ tanpa membaca al-Fatihah. Jika rakaat tersebut tidak diterima, sudah tentu Nabi akan menegur dan menyuruh
Abu Bakrah RA menambah bilangan rakaat.
[Lihat Silsilat al-Ahadith al-Sahihah, ms. 230].

b. Didalam kes kedua, memang terdapat khilaf ulama’. al-Shirazi di dalam Muhazzab mengatakan jika seseorang itu
semasa sedang membaca sebahagian al-Fatihah, mendapati Imam melakukan ruku’.

Disini terdapat 2 pandangan :-

i. Berhenti membaca al-Fatihah dan terus ruku’. Bacaan al-Fatihah dikecualikan.
ii.Terus membaca al-Fatihah kerana dia telah memulakan bacaan al-Fatihah, seharusnya dia menghabiskan bacaan
tersebut. [al-Majmu’, 4/109].

Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rh, bekas Mufti Besar Arab Saudi berpendapat bahawa hendaklah dia terus ruku’ tanpa
menghabiskan bacaan al-Fatihah. Disana ada hadith yang menyatakan bahawa Imam itu dilantik untuk diikuti
[Majmu’ Fataawa Ibn Baaz, 11/243].

Sabda Nabi SAW :-

إنما جعل الإمام ليؤتم به ، فلا تختلفوا عليه ، فإذا كبر فكبروا ، وإذا ركع فاركعوا

Maksudnya : “Imam dijadikan untuk diikuti, maka janganlah kamu berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir maka
hendaklah kamu bertakbir, jika dia ruku’ hendaklah kamu ruku'” [Hadith Muttafaq ‘Alaih].

3. Makmum masbuk dimaafkan untuk tidak membaca fatihah atau tidak menghabiskan baki fatihahnya, kerana fatihahnya ditanggung oleh imam. Oleh itu, apabila imam rukuk, wajib ia turut rukuk bersama imam. Jika ia tidak rukuk
bersama imam kerana ingin menghabiskan fatihahnya hingga imamnya bangun dari rukuk (dan ia ketinggalan rukuk
bersama imam), perbuatannya itu makruh dan luput rakaat tersebut daripadanya (yakni dia wajib menambah rakaat
selepas imam memberi salam). Jika ia ketinggalan dari imam hingga dua rukun fi'li, batallah solatnya.
[Terjemahan al-Qaul at-Taam Fi Ahkam al-Ma'mum wa al-Imam, Dato' Syeikh Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar,
hlm. 25]

Wallahu'alam.

Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768