Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00366
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk STATUS KEDAI MAKANAN
Soalan MOHON PANDANGAN DARIPADA PIHAK JABATAN MUFTI
BERKAITAN TREND SEKARANG INI DIMANA BANYAK TUAN
EMPUNYA KEDAI (CINA) MELETAKKAN PEKERJA (ISLAM
DIHADAPAN (KAUNTER) DIMANA TUKANG MASAK
BERCAMPUR AGAMA. CONTOHNYA CHAR KOAY TEOW CINA
MEMASAK, BURGER DAN FAST FOOD ADA YANG ISLAM DAN
INDIAN. CONTOH TERDEKAT DI TINGKAT 3 KOMTAR (THE TOP
KOMTAR). TUAN BOLEH LIHAT SITUASI INI BERLAKU DIMANA
PERCAMPURAN TUKANG MASAK SEMUANYA BERLAKU.
MOHON UNTUK BAGAIMANA HENDAK MENYELESAIKAN
KEADAAN INI.
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualaikum,

Pemilikan kedai makan, gerai dan restoran oleh bukan Islam tidaklah menjadikan sesuatu makanan itu sebagai haram.
Kehalalan sesuatu makanan untuk bukanlah diukur dari segi pemilikannya. Memakan makanan yang diberikan oleh
orang bukan Islam adalah dibolehkan (halal) jika makanan tersebut tidak terdiri daripada makanan yang diharamkan,
seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi
tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya.

Oleh itu, kita boleh memakan makanan tersebut jika pada zahirnya ia adalah makanan yang bukan dibuat daripada atau
kandungannya mengandungi elemen yang haram sebagaimana disebutkan, walaupun makanan itu dibuat atau dimasak
atau disediakan oleh mereka sendiri.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang
disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah
berubah baunya, dan Baginda SAW menerima undangan tersebut.

Oleh itu kita boleh menerima pemberian makanan yang diberikan atau dimasak oleh orang yang bukan Islam itu bahkan
boleh memakannya, jika pada zahirnya makanan tersebut adalah halal dan tidak mengandungi bahan yang haram.

Sekiranya bahan mentah dan perkakas semuanya bersih dari sudut hukum Islam, kita boleh memakannya, tetapi tidak
digalakkan. Jika boleh tidak perlulah makan makanan mereka dan yang lebih baik kita belajar cara masakan mereka dan
memasaknya dengan sendiri.

Hari ini tanpa kita sedari, kita sebenarnya banyak terdedah kepada barang makanan keluaran orang bukan Islam di
pasaran seperti mee segera, makanan ringan dan banyak lagi yang memang kita tidak ketahui dengan jelas cara
masakan serta bahan-bahan yang sebenar yang dicampur adukkan. Akan tetapi di dalam Islam ada satu kaedah iaitu,
TIDAK WAJIB DIPERSOALKAN secara terperinci kecuali apabila telah jelas keharamannya. Walaubagaimanapun, bagi
mereka yang benar-benar soleh dan warak serta menjaga kesucian agamanya mereka akan mengambil langkah
meninggalkan terus perkara yang sedemikian.

Tidak ada larangan kepada orang Islam memakan makanan yang dimasak oleh orang kafir, munafik dsb, selagi mana ia
tidak melibatkan makanan yang haram dimakan (seperti khinzir (babi) atau minuman yang diharamkan (seperti arak,
wine, dsb), dan juga binatang yang disembelih bukan dari kalangan orang Islam atau Ahli Kitab. Begitulah juga dengan
penggunaan pinggan, gelas dan sebagainya yang dibasuh oleh orang-orang kafir, melainkan mereka menggunakan
bahan pencuci yang mengandungi benda yang haram.

Jika alasan kita berasaskan bahawa apa-apa sahaja sentuhan orang kafir itu najis, maka kita telah tersilap di dalam
memahami nas al-Quran, kerana kenajisan orang kafir hanyalah pada aqidahnya, bukanlah tubuhnya itu najis secara
fizikal.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:-

“Wahai orang yang beriman, sesungguhnya orang musyrikin itu adalah najis…..” [Surah al-Taubah : 28]

Kenajisan kaum Musyrikin bukanlah najis hissiyah dan apa yang dijelaskan di dalam al-Quran di dalam ayat di atas
bermaksud ketidaksucian kaum musyrikin terhadap AQIDAH mereka yang mensyirikkan Allah SWT.

Berkata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi :-

“Kenajisan orang musyrikin adalah Najis Ma’nawiyah, melainkan ada segelintir fuqaha’, seperti Zaidiyyah dan Zahiriyyah
mengatakan orang musyrikin dan kufar adalah najis hissiyah”.

Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani RH bahawa apa yang dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis
hissiyah, bahkan ia adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini yang najis dan bukanlah
fizikal badan mereka. Malah kata al-Qaradhawi di dalam riwayat Sahih bahawa Nabi SAW dan para sahabat pernah
minum dan mengambil wudhu’ dari bijana orang Musyrikin. Baginda juga makan makanan hidangan orang kafir.

Kesimpulannya, anda boleh makan makanan yang dimasak oleh orang kafir selagi mana kandungan makanan tersebut
adalah diyakini halal untuk dimakan. Sentuhan orang kafir bukanlah najis dan yang berbeza dengan kita hanyalah aqidah
mereka sahaja.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768