Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00365
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Munakahat
Tajuk NASAB
Soalan assalamualaikum tuan mufti ,
saya ada soalan mengenai nasab...
misalnya saya seorang anak tak sah taraf yang dilahirkan oleh ibu saya dgn kadaran
5 bulan 5 hari..dan dibinkan oleh ayah biologi..

soalan saya :

1. hukum samada anak itu sah taraf atau tidak..
2. bolehkah dinasabkan kepada nama ayah biologi tersebut jika anak itu anak lelaki.
3. jika tidak boleh dibinkan kepada nama ayah biologi , adakah wajib dibinkan
kepada nama Allah atau abdullah..
4. hukum bercampur dgn adik beradik lain yang lahir selepas saya misalnya sebagai
anak sulung..dan adik2 ipar serta anak saudara..
5. hukum bercampur dgn mak dan pak saudara bagi kedua2 pihak emak dan ayah
biologi...
6. benarkah anak tidak sah taraf itu hina dan jalan hidup dia juga lebih ke arah
keburukkan dan kerosakkan pada dirinya sendiri serta orang lain..
7. benarkah anak tak sah taraf itu dugaan dia lebih besar daripada Allah misalnya
hidup dia sentiasa diselubungi masalah , selalu berduka dan tidak bahagia seperti
orang lain..
8. benarkah anak tidak sah taraf tidak boleh menjadi imam dan wali.

mohon pencerahan..sekian terima kasih..
jazakallah khairan
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Waalaikumsalam Wbt.

Penjelasan berkaitan status nasab anak seperti yang telah dikemukakan adalah seperti berikut:-

1. Anak yang dilahirkan dengan kadar 5 bulan 5 hari dari tarikh akad nikad adalah dikira sebagai anak tak sah taraf.

2. Anak tak sah taraf tidak boleh nasab atau dibintikan kepada ayah biologi sama ada anak itu seorang lelaki atau
perempuan. Dalam hal ini Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
Kali Ke-57, yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah
memutuskan seperti berikut:

i. Anak Tak Sah Taraf ialah: Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada
persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

ii. Anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang
mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram
dan tidak boleh menjadi wali.

(Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia (hlm. 206-207).

Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (16/222), Syeikh Najib al-Muti’ie menyebut bahawa tiada khilaf dalam
kalangan ahli ilmu bahawa anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak tersebut dan
mereka tidak saling mewarisi. Mazhab Syafie dan Maliki tidak mengharamkan pernikahan antara mereka berdua tetapi
memakruhkannya. Manakala mazhab Abu Hanifah dan Hanbali mengharamkannya.

Rasulullah SAW juga bersabda:
مَن ادَّعى إلى غيرِ أبيهِ، أو انتَمَى إلى غيرِ مواليه، فعلَيه لعنَةُ اللهِ المتتابعةُ إلى يومِ القِيَامَةِ
Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, atau menisbahkan kepada bukan
maulanya, maka ke atasnya dilaknat oleh Allah secara berterusan hingga hari kiamat.”(Riwayat Abu Daud (5155)

3. Hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah ini adalah jelas sebagaimana Garis Panduan Penamaan dan
Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf Dari Segi Syarak yang diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998. Menurut Garis
Panduan Penamaan ini, anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-
lain nama Asma Al-Husna berpangkalkan Abdul. Ini kerana Syarak dan Maqasid Syariah amat mementingkan
pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergaulan, perwalian,
pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

4. Jika lelaki yang berzina itu berkahwin dengan wanita (ibu) yang berzina dengannya dan selepas itu berlaku hubungan
kelamin antara mereka, maka anak (hasil zina) tersebut menjadi mahram kepada lelaki tersebut (bapa tiri). Begitu juga
adik beradik yang lain menjadi saudara tiri kepadanya anak tersebut.

5. Hukum berkaitan ibu dan bapa saudara pula, bagi adik beradik sebelah ibu dikira sebagai ibu/bapa saudara secara
nasab, manakala bagi sebelah bapa tiri pula dikira sebagai ibu/bapa saudara tiri.

6. Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang
dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru,
hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa
yang paling bertakwa antara kita. Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita menghormati orang yang tidak
diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat kelima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui
bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-
anak tidak sah taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah
dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka
dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.

7. Semua manusia sebagai hamba akan sentiasa diuji oleh Allah SWT tidak kira sama ada anak tidak sah taraf atau
sebaliknya. Allah SWT berfirman:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.
(Al-Hujurât: 13)

Manusia hanyalah bernilai dan mulia di sisi Allah dengan ketakwaan, bukan dengan pangkat dan jabatan, garis
keturunan dan nasab dan bukan pula dengan kekuasaan dan harta.

8. Sesungguhnya syariat Islam telah menjelaskan dengan lengkap tentang orang yang lebih berhak menjadi imam solat.
Dalam sebuah hadits dijelaskan:

Daripada Abi Mas’ud al-Anshaari RA, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Yang (paling berhak) menjadi imam pada satu
kaum adalah yang paling banyak membaca (menghafal) al-Qur’an. Jika mereka sama dalam bacaan (hafalan), maka
yang paling berilmu dalam Sunnah (Hadits). Jika mereka sama di dalam Sunnah, maka yang paling dahulu berhijrah. Jika
mereka sama di dalam hijrah, maka yang paling dahulu masuk Islam (di dalam riwayat lain: yang paling tua umurnya).
Seorang lelaki janganlah menjadi imam di dalam wilayah kekuasaan lelaki lain, dan janganlah dia duduk di atas
permadani/tempat duduk khusus orang lain di dalam rumahnya, kecuali dengan izinnya”. (HR. Muslim, no: 673; Abu
Dawud, no: 584; Ibnu Majah, no: 980; An-Nasai, no: 780)

Berdasarkan hadis di atas seseorang yang layak menjadi Imam itu dinilai di atas kriteria di atas.

Manakala syarat untuk menjadi wali pula ialah Islam, baligh, lelaki, merdeka, berakal, tidak berada di dalam ihram haji
atau umrah dan adil. Maka anak luar nikah boleh menjadi wali kepada anaknya kelak jika dia berkahwin secara sah,
tetapi tidak boleh menjadi wali kepada adik beradik perempuannya yang tidak sah taraf dengannya (jika ada).
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768