Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00361
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Muamalat
Tajuk PENCERAHAN MAKAN KFC DAN PELABURAN AMANAH SAHAM NASIONAL
Soalan Asalamualaikum Ustaz saya ada 2 soalan yang
pertama berkaitan makan KfC dan macdonal ada
pendapat menyatakan haram tetapi saya lihat sekolah
agama pun ustaz beli masa buat jamuan dan pencerah
mengenai Pelaburan ASB ada yang menyatakan haram
dari pelaburan yang dibuat mengikut kerajaan negeri
sekian Terima Kasih
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualikum,

1. Jawapan daripada Bahagian Hab Halal JAKIM menyatakan:-

- Mcdonald's Malaysia merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah. Pensijilan halal ini hanya diberi
pada Mcdonald's Malaysia sahaja dan tidak melibatkan premis makanannya yang berada diluar negara.

- Selain itu, pengurusan dan kawalan bahan mentah bagi jenama produk dan premis makanan yang mempunyai
rangkaiannya di kebanyakkan negara adalah berbeza. Manakala bahan mentah yang dibawa masuk dari luar juga perlu
mempunyai pengiktirafan halal dari badan Pensijilan Halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Sehingga kini JAKIM
telah mengiktiraf 67 logo halal daripada 41 buah negara seluruh dunia. Bagi mengetahui logo halal luar negara yang
diiktiraf oleh JAKIM, sila layari : (http://bit.ly/LogoHalalLuarNegara)

- Perlu diketahui juga, proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mengambil kira setiap ramuan dan
proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh Pakar Syariah dan juga Teknologi
Makanan.

- Untuk mengetahui status halal premis makanan dan produk yang mempunyai sijil pengesahan halal malaysia.

Sila layari direktori halal di (www.halal.gov.my )

Sebarang kemusykilan berkenaan isu-isu halal yang tular boleh ikuti penjelasan lanjut di FB Bahagian Hab Halal jakim.

Sila layari ( http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular ).

2- Mengenai Amanah Saham Bumiputra (ASB), kami kemukakan keputusan berikut:-

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PULAU PINANG
BIL. 4/2017
_________________________________________________________

Pelaburan Dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) Serta Dividen atau
Bonus Yang Diterima.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil.4/2017 yang bersidang pada 14-15 Ogos 2017 telah
membincangkan Pelaburan Dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Serta Dividen atau Bonus Yang Diterima. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Berdasarkan taklimat dan penjelasan yang telah diberikan oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB),
mesyuarat mendapati bahawa:

i. Saiz pelaburan PNB sangat besar sehingga industri kewangan dan pasaran modal Islam masih tidak mencukupi
untuk menampungnya. Justeru, PNB terpaksa mewujudkan saringan maqasid syariah, melakukan beberapa inisiatif
penambahbaikan dan menstrukturkan pelaburannya bagi mencapai matlamat dan memastikan ia patuh syariah;

ii. Objektif keseluruhan PNB boleh dikaitkan kepada maqasid syariah untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat
bumiputera yang majoritinya beragama Islam. Hasil daripada pelaburan-pelaburan saham yang dibuat secara
keseluruhan adalah memelihara salah satu daripada lima maslahah utama syarak yang dikenali sebagai daruriyyat yang
lima iaitu melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta;

iii. Maslahah yang dibawa oleh PNB kepada umat Islam dan bumiputera adalah untuk menjaga kepentingan negara
seperti kestabilan politik dan ekonomi, keperluan kepakaran dalam industri-industri yang kritikal dan menjaga aset-aset
strategik negara. Di samping itu, kepentingan hasil daripada pelaburan-pelaburan saham iaitu jumlah pendapatan
daripada pelaburan tersebut juga merupakan kepentingan yang perlu dijaga. Ini kerana jumlah pendapatan pelaburan
tersebut disalurkan semula kepada umat Islam dan bumiputera sebagai dividen;

iv. Dalam konteks PNB, pelaburan dalam syarikat-syarikat yang terlibat bukan sahaja dapat melindungi salah satu
daripada lima asas utama ini, bahkan ia dapat melindungi beberapa elemen yang berkepentingan untuk menyokong lima
asas tersebut;

v. PNB telah hampir memaksimakan pelaburan dalam sekuriti pelaburan dan sekuriti pendapatan tetap patuh syariah
dengan jumlah pelaburan PNB iaitu RM33 bilion yang hampir menyamai jumlah modal berbayar bank-bank patuh
syariah. Manakala dua pertiga iaitu 66 peratus pelaburan ekuiti PNB adalah patuh syariah mengikut Suruhanjaya
Sekuriti;

vi. PNB juga telah melaksanakan perubahan inisiatif-inisiatif penambahbaikan lain seperti akad yang jelas akan
digunapakai di dalam pelaburan, ke arah penyelesaian isu sekuriti pendapatan tetap (fixed income securities) dan
pasaran wang, meningkatkan perniagaan patuh syariah (shariah compliant) di dalam Syarikat Kumpulan Maybank dan
menasihati para pelabur yang beragama Islam untuk membayar zakat sekiranya cukup haul dan nisab.

2. Prinsip sesuatu hukum itu berubah mengikut illahnya. Menurut Dr. Muhammad Sidqy al-Burnu di dalam "Mausu'ah
al Qawa'id al Fiqhiyyah" (3/195):

" الحكم يدور مع علته وجودا وعدما : إذا وجدت العلة أو السبب ثبت الحكم بها، فإذا زالت العلة أو السبب، زال الحكم بزوالها ، وانتهى بانتهائها؛ لأن الحكم يدور مع علته
وسببه وجوداً وعدماً ".
"Hukum berubah mengikut perubahan illah (sebab) : Apabila wujud illah atau sebab sabitlah hukum baginya sebaliknya
hukum akan berubah apabila tiada illah atau sebab, terhenti dengan terhentinya illah atau sebab, kerana hukum itu
mengikut kewujudan serta ketiadaan illahnya...”

3. Sehubungan dengan itu, setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat
bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan
yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera
(ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

4. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 16 Jun 1999 dan Mesyuarat Jawatankuasa
Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 30 Disember 2009 mengenai Hukum Umat Islam Melabur Dalam Amanah Saham
Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah dibatalkan.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768