Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00327
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Muamalat
Tajuk PELABURAN DALAM ASB
Soalan Saya terbaca fatwa terbaru Negeri Pulau Pinang atas
ASB adalah Harus. Adakah ini benar? Jika ia benar,
apakah asas perubahan hukum dari asalnya HARAM
kepada HARUS sebab setahu saya ASB masih ada
pegangan di bank konvensional yg ada unsur riba.
Mohon pencerahan.
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Berdasarkan Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang terbaru yang telah bersidang pada 14-15
Ogos 2017 menyatakan bahawa Pelaburan dalam skim Amanah Saham Nasional ( ASN) dan Skim Amanah
Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Keputusan dibuat berdasarkan kepada beberapa taklimat dan penjelasan yang telah diberi oleh
pihak Permodalan Nasional Berhad ( PNB).

Antara lainnya adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat bumiputera yang majoritinya beragama
Islam dan untuk menjaga kepentingan negara seperti kestabilan politik dan ekonomi.Hasil daripada pelaburan
yang dibuat secara keseluruhan adalah memelihara salah satu daripada 5 maslahah utama syarak yang
dikenali daruriyyat yang lima iaitu melindungi agama, nyawa,akal ,keturunan dan harta.

Selain itu. Permodalan Nasional Berhad ( PNB) telah hampir memaksimakan pelaburan dalam sekuriti
pelaburan dalam sekuriti pendapatan tetap patuh syariah dengan jumlah perlaburan PNB iaitu RM33 bilion
yang hampir menyamai jumlah modal berbayar bank-bank yang patuh Syariah. Manakala dua pertiga iaitu 66
peratus perlaburan ekuiti PNB adalah patuh syariah mengikut suruhanjaya sekuriti.

Disamping itu juga telah berlaku beberapa perubahan dan penambaikan yang lain seperti akad yang jelas
akan digunakan pakai didalam pelaburan,dan ke arah penyelesaian isu sekuriti pendapatan tetap (Fixed
income securities) dan pasaran wang, meningkatkan perniagaan patuh syariah (syariah compliant) di dalam
syarikat kumpulan Maybank dan menasihati para pelabur yang beragama Islam untuk membayar zakat
sekiranya cukup haul dan nisab.

Prinsip sesuatu hukum itu berubah adalah berdasarkan illahnya. Menurut Dr.Muhammad Sidqy al-Burnu di
dalam " Mausu'ah al-Qawa'id al-Fiqhiyyah " ( 3/195 ):

''Hukum berubah mengikut perubahan illah( sebab): Apabila wujud illah atau sebab sabitlah hukum baginya
sebaliknya hukum akan berubah apabila tiada illah atau sebab,terhenti dengan terhentinya illah atau
sebab,kerana hukum itu mengikut kewujudan serta ketiadaan illahnya.."

Oleh kerana itu keputusan yang telah dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang
pada 16 jun 1999 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 30 disember 2009
mengenai Hukum Umat Islam Melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham
Nasional (ASN) adalah dibatalkan.




Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768